Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya agar dapat menduduki kertas pertama Bahasa Melayu hari ini. Saya bertekad untuk berusaha sebaiknya sehingga peperiksaan SPM berakhir 29 Mac ini," kata pelajar, Muhammad Nabil Najmi Zulkiflee, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, di sini.

Dia yang menghidap penyakit gangguan saraf otot progresif atau Duchenne Muscular Distrofi (DMD) adalah calon tunggal berkeperluan khas daripada 236 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sekolah itu bermula hari ini.

Muhammad Nabil Najmi,18, berkata, sebagai golongan berisiko dijangkiti Covid-19, dia sentiasa berdoa supaya dilindungi daripada virus itu dan dapat menduduki SPM dengan selamat selepas lama tertangguh akibat pandemik itu.

MUHAMMAD Nabil Najmi. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
MUHAMMAD Nabil Najmi. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

"Saya juga mahu buktikan kepada guru dan rakan, cacat fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya dalam akademik selagi tidak putus asa dalam setiap apa yang diusahakan," katanya yang juga pelajar jurusan perakaunan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, penyakit DMD yang dihidapi sejak berusia 10 tahun menyebabkan otot kedua kakinya mengecut hingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

Namun katanya, kekurangan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 2:30 PM