JALALUDDIN (tengah) menghadiri program Multaqa Al Aqsa Dan Palestin Sempena Sambutan Isra Mi'raj 1443/2022 di Kompleks Nasyrul Quran Presint 14  hari ini. FOTO Samadi Ahmad
JALALUDDIN (tengah) menghadiri program Multaqa Al Aqsa Dan Palestin Sempena Sambutan Isra Mi'raj 1443/2022 di Kompleks Nasyrul Quran Presint 14 hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pengusaha hotel dan restoran disaran tidak menawarkan sajian atau bufet berbuka puasa pada harga tinggi, menjelang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, harga bufet yang ditawarkan perlu dikaji semula dan tidak dibuat sesuka hati sehingga membebankan pihak lain.

"Semua pihak perlu cakna untuk mengatasi masalah ini walaupun berbuka di hotel atau restoran hanyalah pilihan kepada pelanggan. "Kita akan panggil jawatankuasa Bazar Ramadan dan pengusaha hotel untuk hadir mesyuarat bagi membincangkan masalah ini dalam masa terdekat, "katanya pada sidang media selepas program Multaqa Al Aqsa Dan Palestin Sempena Sambutan Isra Mi'raj 1443/2022 di Kompleks Nasyrul Quran Presint 14, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR), Datuk Seri Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Datuk Abdul Ghani Samsuddin.

Pada program itu Jalaluddin turut melancarkan Waqaf dan Infaq Al Aqsa anjuran bersama Mapim, SHURA dan MANAR bertujuan mempertahan kesucian dan kemuliaan Masjid Al Aqsa.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini akan diteruskan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bazar dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, jumlah peniaga juga akan dikurang separuh di setiap bazar bagi mengekang wabak Covid-19.

Katanya, KWP sudah mengadakan pemilihan peniaga yang dilakukan secara undian dan lesen Bazar Ramadan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"KWP akan berusaha memenuhi setiap permintaan peniaga untuk berniaga ketika Ramadan bagi menambah pendapatan dan berharap mereka yang terpilih akan menggunakan sebaik-baik peluang ini dengan mematuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 2:42 PM