BUFET Ramadan di Malaysian Petroleum Club memberi pengalaman kepada pelanggan menikmati hidangan dengan panorama menarik.
BUFET Ramadan di Malaysian Petroleum Club memberi pengalaman kepada pelanggan menikmati hidangan dengan panorama menarik.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Menggabungkan dua cita rasa makanan dari Malaysia dan Timur Tengah ternyata menjadi sesuatu yang menarik untuk dinikmati ketika berbuka puasa pada Ramadan kali ini.

Malah cef yang menyediakan kira-kira 100 jenis makanan itu juga mempunyai pengalaman yang cukup 'berkuasa' untuk memukau selera pelanggan, Cef Shahrul Mohamad dan cef antarabangsa terkenal, Cef Ammar Al Ali.

Merasai sendiri air tangan kedua-dua cef itu di Malaysian Petroleum Club di tingkat 42, Menara 2 di Menara Berkembar Petronas baru-baru ini sempena reviu hidangan berbuka puasa Ramadan, sememangnya memberi pengalaman menikmati hidangan dan panorama menarik di lokasi itu buat penulis. Apatah lagi, ia berada di salah satu bangunan ikonik dunia!

Pengurus Malaysian Petroleum Club, Charles Abdullah berkata, hidangan bufet Ramadan pada tahun ini menawarkan kelainan kepada pelanggan kerana ia disediakan dua cef berpengalaman dan mempunyai identiti masakannya tersendiri di dalam bidang masing-masing.

Jelasnya, malah bufet berbuka puasa itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati makanan berbuka puasa di Malaysian Petroleum Club yang sememangnya hanya eksklusif kepada ahlinya sahaja jika bukan pada Ramadan.

"Sempena Ramadan kali ini kita mempunyai kira-kira 60 hidangan iaitu 80 peratus masakan tempatan dan 20 peratus lagi dari Tengah yang disediakan sendiri Cef Amar.

"Antara hidangan yang tempatan yang cukup terkenal di sini pastinya daging dendeng, ayam kuzi, gulai gawah, sate, kambing golek dan lok lok steamboat

"Manakala, bagi makanan Timur Tengah yang disediakan Chef Amar pula termasuk signature lamb shank, nasi mandi dengan ayam kabsa bersama sos istimewa dan pelbagai manisan yang boleh dinikmati pelanggan ketika berbuka puasa," katanya.

Malaysian Petroleum Club mampu memuatkan sehingga 300 orang untuk berbuka puasa dan mempunyai dewan persendirian yang boleh memuatkan sehingga 150 orang untuk acara persendirian yang ingin dianjurkan.

Selain daripada berbuka puasa di Malaysian Petroleum Club, pengunjung juga boleh menikmati bazar yang beroperasi di tingkat 41 yang menjual produk makanan dari Cef Amar antaranya betis kambing, mandy ayam dan pelbagai manisan. Ia beroperasi dari jam 3 petang hingga 6 petang.

Charles berkata, bagi membolehkan pelanggan mengenali Cef Amar dengan lebih dekat, dia akan berada di Malaysian Petroleum Club bermula pada 18 Ramadan.

"Waktu beroperasi untuk pelanggan menikmati makanan bufet disediakan bermula jam 6 petang hingga 10.30 malam kerana kita ingin memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati makanan secara santai.

"Malah terdapat pelbagai kemudahan untuk mereka bersolat dan apabila selesai solat, masih boleh menyambung semula menikmati hidangan bufet berkenaan," katanya.

Katanya lagi, jika pelanggan menginginkan makanan yang berbeza daripada makanan yang disediakan terdapat restoran yang menyediakan hidangan cina halal, Seligi pavilion di tingkat 43 yang mempunyai dua tawaran harga iaitu satu meja RM2,400 dan pilihan kedua, RM2,600 satu meja yang boleh memuatkan 10 pelanggan.

"Tidak sekadar itu, lokasi Malaysian Petroleum Club yang terletak di tingkat 42 memberi pengalaman panorama yang menarik untuk mereka melihat pemandangan Kuala Lumpur dari mata burung yang begitu menakjubkan ketika berbuka puasa. Apatah lagi mereka boleh merentasi SkyBridge yang cukup terkenal di menara ini," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 0127118342 atau menerusi e-mel, [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 9:27 AM