Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad (tiga, kanan), bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan), tiba di Rumah UMNO sebelum menuju ke pusat penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor di Dewan Serbaguna Benut, Johor. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad (tiga, kanan), bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan), tiba di Rumah UMNO sebelum menuju ke pusat penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor di Dewan Serbaguna Benut, Johor. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Mohamed Farid Noh

Pontian: Pertembungan empat hingga tujuh penjuru di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sememangnya sudah dijangka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kewujudan parti baharu serpihan daripada parti lama sebelum ini menyebabkan pertambahan parti serta calon pada PRN kali ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keadaan itu mengulangi apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Sarawak dengan BN turut berdepan lebih daripada dua penjuru.

"Banyak parti serpihan dahulu ada dalam satu gabungan, namun kemudian tubuhkan parti baharu untuk melawan BN.

"Saya ada mendengar ura-ura satu gabungan parti pembangkang sebelum penamaan calon lagi, khusus bagi menentang BN.

"Namun strategi ini ternyata tidak berlaku berdasarkan kepada hari penamaan calon hari ini yang menyaksikan lebih daripada empat penjuru berlaku di kebanyakan DUN.

"Dalam kalangan mereka (pembangkang) juga didapati tidak bersefahaman dan ini menunjukkan hanya bertanding mengikut blok masing-masing demi untuk menentang BN," katanya selepas melawat Bilik Gerakan BN bagi DUN Pulai Sebatang di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Mahadzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk SeriJamil Khair Baharom serta calon BN bagi DUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor memaklumkan terdapat dua DUN menyaksikan pertembungan tujuh penjuru iaitu di DUN Tiram dan Kempas, enam penjuru membabitkan empat DUN, manakala 35 DUN lagi berhadapan saingan empat penjuru.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO sebagai tulang belakang kepada BN tidak gentar berdepan dengan pertembungan membabitkan lebih daripada dua penjuru ini.

"Saya yakin BN masih menerima sokongan pengundi. Rasa penyesalan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diterjemahkan pada PRN Johor dengan menyokong calon-calon BN," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga yakin semua jentera pilihan raya BN sudah bersiap sedia untuk menjalankan tugas masing-masing di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 3:53 PM