AHMAD (tengah) menyampaikan Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
AHMAD (tengah) menyampaikan Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad.


Pontian: Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak bersama lagi sebagai parti komponen dalam parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, namun jika BN memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, GPS pernah menyuarakan hasrat untuk membentuk kerajaan bersama-sama tanpa menjadi parti komponen.

Katanya, dalam pertemuannya diketuai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Sri Mohamad Hasan bersama Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, GPS menyatakan pendiriannya hanya mahu Sarawak ditadbir parti dari Sarawak.

"GPS sudah buat keputusan tidak mahu bersama BN. Namun jika kita (BN) menang pada PRU15, GPS akan bersama dengan kerajaan BN, tetapi bukan sebagai komponen. Mereka bersama membentuk kerajaan BN + GPS, itu adalah keputusan mereka.

"Kita menghargai dan menghormati persahabatan ini. Tentunya bila menang PRU15 kita akan jemput GPS untuk memerintah Malaysia bila tiba waktunya. Mereka kumpulan yang mesra dengan BN," katanya.

Mengulas mengenai PRN Sarawak, Ahmad berkata, BN yakin GPS akan menang besar dan berkemungkinan memperolehi majoriti dua pertiga.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pimpinan tertinggi Umno akan melakukan rundingan bersama kerajaan bagi mendapatkan kepastian tempoh paling sesuai untuk diadakan PRU15.

Katanya, rundingan pimpinan tertinggi itu membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmar Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Rundingan ini akan dibuat untuk mendapatkan tarikh paling sesuai untuk diadakan PRU15 mengikut pandangan parti. Perkara ini kita sebenarnya telah selalu berbincang bagi mendapatkan makluman dari setiap sudut.

"Pandangan parti dan pandangan kerajaan ini kita akan rundingkan kerana sehingga kini kita memang mendokong kepimpinan Perdana Menteri, malah perkara ini juga disuarakan oleh presiden (Ahmad Zahid) sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:31 PM