SUPERINTENDAN Zairolnizal Ishak. FOTO Ihsan FB Polis Daerah Kota Marudu
SUPERINTENDAN Zairolnizal Ishak. FOTO Ihsan FB Polis Daerah Kota Marudu
Juwan Riduan


Kota Marudu: Rakaman suara tular sejak petang semalam, yang mendakwa kejadian polis mengejar penjenayah sebagai kes culik adalah tidak benar.

Sebaliknya, kejadian yang didakwa berlaku di kawasan Kampung Beliajung, semalam itu adalah membabitkan kes curi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan penyebaran mesej berkenaan.

Katanya, penularan mesej yang tidak benar berkenaan dibimbangi akan menimbulkan kegusaran awam.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu mengesahkan perkara yang ditularkan dengan dakwaan pihak polis mengejar penculik adalah tidak benar sama sekali.

"Dua suspek lelaki yang ditangkap polis Bahagian Siasatan Jenayah (IPD) Kota Marudu pada 6.30 petang semalam, di kawasan Kampung Beliajung kerana terbabit dengan curi sarang burung," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zairolnizal berkata, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan sebarang berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu dengan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Sementara itu, beliau turut menafikan video tular sejak pagi tadi menyatakan berlaku kes culik di Kota Marudu, sebaliknya ia adalah kejadian kes pecah rumah sarang burung di sebuah daerah di Sarawak pada 27 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 1:42 PM