Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan Isuzu D Max. FOTO IHSAN BOMBA
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan Isuzu D Max. FOTO IHSAN BOMBA
Juwan Riduan


Kota Marudu: Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia pagi tadi, selepas bertarung nyawa hampir 11 jam akibat kemalangan di Jalan Rakit, di sini, semalam.

Mangsa, Rebecca Grace Tintingon, 9, menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima makluman dari Hospital Kota Marudu mangsa meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kota Marudu.

"Mangsa adalah penumpang hadapan Isuzu D Max yang terbabit kemalangan dengan lori tiga tan dalam kejadian jam 4.45 petang semalam.

"Punca kematian disebabkan oleh parah di bahagian badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tiga individu parah manakala lima yang lain mengalami kecederaan selepas pacuan empat roda jenis Isuzu D Max merempuh sebuah lori tiga tan.

Kejadian menyebabkan pemandu wanita berusia 48 tahun parah selain penumpangnya berusia 15 tahun turut parah.

Pemandu lori berusia 43 tahun juga parah selepas patah di bahagian paha sebelah kiri manakala lima lagi individu yang cedera ialah tiga penumpang pacuan empat roda dan dua penumpang lori.

Zairolnizal berkata, berdasarkan siasatan awal di lokasi kemalangan, lori itu bergerak dari arah Kampung Talantang menuju ke Langkon dengan muatan sawit manakala pacuan empat roda dari Penampang menuju ke Kanibungan, Pitas.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pacuan empat roda hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori.

"Akibat kejadian itu, lori terpusing dan terbabas di kiri jalan Kota Marudu-Pitas manakala pacuan empat roda terbalik di bahagian kanan jalan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 3:40 PM