KKM menafikan video yang tular di media sosial bukan kejadian pengambilan vaksin Covid-19.Foto Twitter KKM.
KKM menafikan video yang tular di media sosial bukan kejadian pengambilan vaksin Covid-19.Foto Twitter KKM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan satu video tular di laman sosial kononnya pelajar mengalami kesan dan reaksi selepas mengambil vaksin Covid-19.

Menerusi ciapan di Twitter rasminya, KKM menyatakan, pihaknya mengambil maklum mengenai video itu dan ia adalah video lama berkaitan kejadian keracunan gas di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor, pada 2019.

Katanya, orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat palsu dan dikongsikan untuk tontonan awam.

"Video itu ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa ia berpunca daripada vaksin," katanya.

Video itu dikesan tular di aplikasi WhatsApp dengan dakwaan KKM menyembunyikan kejadian berlaku kononnya ramai pelajar jatuh sakit selepas diberikan vaksin Covid-19.

Terdahulu, pada Mac 2019 berlaku satu kejadian keracunan kimia kritikal di Pasir Gudang, Johor sehingga menyebabkan 27 sekolah diarah tutup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 3:04 PM