Pasukan perubatan memberi bantuan kepada murid-murid yang terhidu bahan kimia di Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Pasukan perubatan memberi bantuan kepada murid-murid yang terhidu bahan kimia di Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein


PIHAK berkuasa tidak sepatutnya terburu-buru membuka semula operasi dua sekolah di Pasir Gudang, Johor, yang terjejas akibat buangan bahan sisa kimia, Khamis lalu, sebaliknya memastikan kerja pembersihan sungai dilakukan sepenuhnya terlebih dahulu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, ditutup sejak Khamis lalu dan semalam, namun dibuka semula hari ini selepas ia dikatakan selamat digunakan.

Malangnya, ia ditutup semula selepas seramai 33 pelajar dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat sesak nafas, muntah dan beberapa masalah lain dipercayai disebabkan pencemaran udara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mewakili penduduk meminta pihak berkuasa jangan terburu-buru membuka sesi persekolahan hingga boleh membahayakan keselamatan orang ramai terutama murid, pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

“Saya berpendapat, keadaan masih belum selamat. Keselamatan pelajar paling utama manakala pembersihan sungai mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh menggunakan tenaga pakar dalam bidang atau bahan buangan itu.

“Pihak berkuasa perlu memastikan kawasan itu benar-benar selamat barulah sekolah boleh dibuka semula. Tolong, jangan perjudikan keselamatan pelajar, guru dan orang awam kerana isu keracunan kimia amat bahaya.

“Saya berpendapat, pakar alam sekitar dalam bidang sisa kimia perlu dipanggil untuk pantau dan sahkan kawasan itu benar-benar selamat sebelum sekolah boleh dibuka semula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Azman Adnan berkata, kedua-dua sekolah yang terjejas akan ditutup sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:05 PM