Asrol Awang

Kuantan: Alasan kos logistik antara faktor peniaga menaikkan harga barang keperluan terutama ayam dan telur di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kajian terperinci termasuk kos logistik dilakukan sebelum penetapan harga kawalan.

Menurutnya, peniaga tidak boleh memberikan alasan jauh dari bandar menyebabkan harga barang dinaikkan hingga memberi kesan kepada pengguna yang berada di luar bandar.

"Setakat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada menerima aduan kenaikan harga ayam di beberapa tempat di luar bandar.

"Kita sudah menetapkan harga kawalan ayam ialah RM8.90 sekilogram tetapi ada segelintir peniaga menjualnya sehingga RM11 sekilogram.

"Oleh itu, kita meminta kerjasama orang ramai melaporkan kepada kementerian untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga," katanya kepada media selepas program walkabout di Pasaraya BS Freshmart, Bukit Goh, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya melakukan sebanyak 112,879 pemeriksaan di seluruh negara dari 1 Januari hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 21,058 premis yang diperiksa membabitkan kawasan luar bandar.

"Ia menunjukkan KPDNHEP tidak mengabaikan penguatkuasaan dan pemeriksaan di kawasan luar bandar walaupun jumlah penduduk dan bilangan premis di luar bandar sedikit berbanding di bandar.

"KPDNHEP menyedari kawasan luar bandar juga perlu diberikan keutamaan dalam penguatkuasaan terutama untuk memastikan masyarakat luar bandar turut mendapatkan bekalan terutama barang keperluan asas seperti gula, tepung gandum, minyak masak, gas memasak dan sebagainya pada harga munasabah," katanya.

ROSOL (kanan) bersama Pengarah Penguatkuasaan KPNHEP, Azman Adam (kiri) dan Penasihat BS Freshmart, Mohammad Rasul Razuan (tengah) menunjukkan harga ayam bersih sempena lawatan ke Pasaraya BS Freshmart Bukit Goh. FOTO Farizul Hafiz Awang
ROSOL (kanan) bersama Pengarah Penguatkuasaan KPNHEP, Azman Adam (kiri) dan Penasihat BS Freshmart, Mohammad Rasul Razuan (tengah) menunjukkan harga ayam bersih sempena lawatan ke Pasaraya BS Freshmart Bukit Goh. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 4:27 PM