Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi Program Penyeragaman Harga (PPH) pada tahun ini untuk memastikan penduduk di luar bandar terutama pedalaman dan pulau menikmati harga barangan keperluan pada harga sama seperti penduduk di bandar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga kini PPH memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta penduduk di 798 kawasan luar bandar di enam negeri merangkumi Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya, PPH yang dilaksanakan sejak 2009 berjaya membantu masyarakat luar bandar menikmati tujuh barangan keperluan asas iaitu beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak tulen, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel mengikut ketetapan harga kerajaan seperti di bandar.

"Kita sedia maklum dengan kesukaran penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar apabila mereka terpaksa membayar pada harga lebih tinggi bagi mendapatkan barangan keperluan berbanding penduduk di kawasan bandar.

"Perbezaan harga ini disebabkan faktor kos pengangkutan yang perlu ditanggung berikutan jarak dan perjalanan yang jauh ke kawasan pedalaman atau luar bandar, malah ada sesetengah kawasan perlu menggunakan bot yang sudah tentu membabitkan kos lebih tinggi.

"Menerusi program ini, kerajaan menanggung kos pengangkutan dari pembekal ke kawasan-kawasan pedalaman terpilih," katanya ketika ditemui selepas PPH di Kampung Baru, Pulau Redang, di sini, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, PPH dilaksanakan melalui khidmat pengangkut tempatan untuk membeli barangan keperluan sebelum dihantar ke lokasi pengedaran termasuk kedai runcit untuk dijual pada harga dikawal kerajaan.

Menurutnya, PPH terbahagi kepada tiga skop projek iaitu pengedaran barang perlu, penyeragaman harga LPG atau gas memasak dan penyeragaman harga petrol RON95 dan diesel melalui program Community Drumming (CD).

"Di Terengganu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan program PPH ini di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

"Menerusi program ini, lebih 7,000 penduduk di dua pulau ini kembali menikmati penyeragaman harga sejak Mei 2021selepas ia tertangguh pada 2019 dan 2020 disebabkan beberapa faktor.

"Ini antara usaha kita untuk memastikan semua rakyat menikmati keistimewaan yang diberikan termasuk barangan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati semua pada harga yang sama," katanya.

Rosol Wahid (dua kanan) bersama Pengarah (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kanan) meninjau harga barangan runcit pada Program Penyeragaman Harga Zon di Kampun Baru Pulau Redang. FOTO GHAZALI KORI
Rosol Wahid (dua kanan) bersama Pengarah (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kanan) meninjau harga barangan runcit pada Program Penyeragaman Harga Zon di Kampun Baru Pulau Redang. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 1:00 PM