PENINGKATAN kos pengeluaran makanan ayam menjadi penyumbang kepada peningkatan harga ayam di pasaran. FOTO Arkib NSTP
PENINGKATAN kos pengeluaran makanan ayam menjadi penyumbang kepada peningkatan harga ayam di pasaran. FOTO Arkib NSTP
Suliati Asri dan Suraya Roslan dan Marry Victoria Dass

Kuala Lumpur: Kenaikan harga ayam dan telur ayam nyata memberi impak kepada pengguna terutama dalam keadaan ramai rakyat bergelut dengan masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19.

Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau harga barangan keperluan termasuk ayam dan telur ayam bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, kenaikan harga ayam adalah disebabkan pelbagai punca dan antara faktor utama adalah disebabkan berlakunya kenaikan harga makanan ayam (dedak) yang bahan utamanya diimport dari luar negara.

Menurutnya, peningkatan harga yang ketara untuk penghasilan makanan ayam membabitkan dua bahan utama iaitu jagung dan soya antara punca yang menyebabkan peningkatan kos pengeluaran makanan ayam yang turut menyumbang kepada peningkatan harga ayam di pasaran.

"Langkah kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi di mana kebanyakan negeri sudah beralih ke Fasa 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) meningkatkan lagi permintaan ayam sedangkan pengeluaran ayam mengambil masa sekitar 32 hari sebelum ia boleh dipasarkan," katanya.

Mengulas mengenai kenaikan harga ayam dan telur ayam juga dikatakan dikawal oleh pemborong sebagai orang tengah, Azman berkata, perkara itu tidak benar.

Menurutnya, KPDNHEP sudah menjalankan pemantauan dan sesi libat urus ke atas setiap rantaian pengeluaran ayam dan telur ayam bermula peringkat pengeluar/peladang sehinggalah ke peringkat peruncit.

"Pemantauan ke atas semua rantaian pengeluaran ini amat penting supaya pihak kementerian dapat mengenal pasti punca dan situasi sebenar yang berlaku pada setiap rantaian pengeluaran ini dan akhirnya mencari pendekatan terbaik untuk pihak kementerian menangani isu kenaikan harga ayam dan telur ayam ini.

"Hasil daripada pemantauan yang dilakukan, pihak kementerian mengenal pasti bahawa harga ayam dan telur ayam ini bukanlah dikawal oleh rantaian tertentu," katanya.

AZMAN Adam. FOTO Arkib NSTP
AZMAN Adam. FOTO Arkib NSTP

Azman berkata, KPDNHEP akan terus komited di dalam usaha menangani isu kenaikan harga ayam dan telur ayam ini supaya pengguna tidak terbebankhususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semasa program PPN.

"Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kita dapat lihat harga ayam dan telur ayam semakin menurun dan trend penurunan harga bagi barangan ini dijangka akan terus menunjukkan penurunan hasil usaha yang diambil pihak kementerian.

"Justeru, pengguna disarankan supaya bijak di dalam menguruskan perbelanjaan lebih-lebih lagi ketika tempoh yang sukar ini.

"Gunakan kuasa sebagai pengguna dan pilihlah peniaga yang beretika serta jujur di dalam menjalankan perniagaan. Dapatkan maklumat yang sesuai dan berbelanjalah di tempat yang menawarkan harga lebih berpatutan," katanya.

Pengguna yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku oleh peniaga, aduan boleh di salurkan kepada KPDNHEP melalui beberapa cara iaitu portal e-aduan.kpdnhep, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep .gov.my, Ez ADU KPDNHEP dan pusat Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) ditalian 03-8882 6088/6245 serta WhatsApp 019-279 4317.

Lebih gemar beli di pasar raya berbanding pasar awam

Johor Bharu: Pasar raya yang menjual ayam dan telur ayam pada harga berpatutan menjadi pilihan penduduk terutama golongan berpendapatan sederhana.

Peniaga makanan, Justina Albani, 42, berkata harga ayam yang melambung sejak sebulan lalu hingga mencecah RM10 sekilogram membebani penduduk mahupun peniaga.

Menurutnya, segelintir peniaga memberi alasan punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan pengurangan bekalan ayam.

"Pengusaha restoran, kedai makan dan katering terpaksa berniaga dalam keadaan tertekan apabila harga ayam di pasaran naik secara mendadak dalam tempoh sebulan berikutan sebelum ini ia boleh didapati pada harga RM5.80 sekilogram.

"Namun harga ayam di pasar raya jauh lebih rendah berbanding sesetengah pasar awam hingga ia menjadi pilihan ramai terutama peniaga seperti kami," katanya ketika ditemui.

Penduduk, Sade Karle, 56, berkata penjimatan antara RM1 hingga RM2 amat bermakna bagi penduduk berpendapatan sederhana dan rendah hingga lebih gemar membeli ayam di pasar raya berbanding di pasar awam.

Menurutnya, kualiti ayam di pasar raya juga menyamai di pasar awam.

"Baru-baru ini saya mengunjungi pasar awam bagi membeli ayam dan terkilan mendapati harga sekilogram ayam mencecah lebih RM9.

"Bagaimanapun harga di pasar raya adalah lebih murah dan jimat," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Hasmah Ghazalli, 60, berkata selain pasar awam, berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak di kedai runcit.

Menurutnya, dengan keadaan ekonomi tidak stabil, kenaikan harga ayam membebani penduduk terutama golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, bekalan ayam di pasar raya berkenaan di seluruh negara masih mencukupi dan ia dijual pada harga berpatutan.

Menurutnya, harga semasa sekilogram ayam adalah RM8.50 dan pihaknya memastikan harga ayam ditawarkan lebih rendah berbanding pesaing.

"Mungkin kenaikan harga ayam berpunca daripada permintaan yang meningkat berikutan kebanyakan sektor sudah beroperasi semula.

"Kami akan memeriksa harga ayam dua hingga tiga hari sekali dan kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan harga ditawarkan dan menyatakan ia lebih rendah berbanding di luar.

"Selain harga ayam, kami juga mengambil kira aspek kualiti dan kebersihan kesemua barangan dijual termasuk barang basah," katanya ketika ditemui.

Peniaga dapat harga tinggi daripada pembekal

Shah Alam: Harga dedak yang meningkat secara mendadak dipercayai antara punca kenaikan harga ayam dalam pasaran.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Moden Seksyen 16 di sini mendapati ayam dijual pada harga RM9.50 sekilogram berbanding RM10 sekilogram tiga minggu lalu.

Peniaga ayam dikenali sebagai Mat, 30-an berkata, pihaknya dimaklumkan pembekal harga ayam naik disebabkan harga dedak meningkat.

"Kami terpaksa menaikkan harga ayam kerana memperoleh harga mahal daripada pembekal," katanya.

KEBANYAKAN peniaga menjual ayam dengan harga RM9.50 dan RM10 sekilogram. FOTO Arkib NSTP
KEBANYAKAN peniaga menjual ayam dengan harga RM9.50 dan RM10 sekilogram. FOTO Arkib NSTP

Selain itu, tinjauan di Pasar Chow Kit mendapati ayam mentah dijual sekitar RM9.50 sehingga RM10 sekilogram.

Seorang peniaga ayam enggan dikenali berkata, kebanyakan peniaga menjual dengan harga RM9.50 dan RM10 sekilogram.

"Bukan sahaja pengguna, kami juga tertekan dan terhimpit apabila harga ayam semakin meningkat seperti sekarang.

"Jika pengguna faham dan memahami situasi peniaga tiada masalah dan terpulang kepada mereka sama ada ingin membeli atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya, dia berniaga ayam segar sejak 10 tahun lalu dan memang terbiasa dengan fenomena turun naik harga ayam.

Selain itu, tinjauan Harian Metro di beberapa pasaraya sekitar Bangsar dan Kuchai Lama mendapati ayam dijual dengan harga RM8.65 dan RM8.79 sekilogram.

Seorang pengguna, Amin Ishak, 65, berkata, dia biasanya membeli ayam di pasar raya kerana harga lebih murah berbanding di pasar basah.

"Sebagai pengguna, saya sudah membandingkan beberapa harga antara pasar raya dan pasar basah.

"Ternyata, harga ayam di pasar raya lebih murah dan menjadi pilihan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:00 AM