MIOR Faridalathrash menunjukkan  barang dan dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran.
MIOR Faridalathrash menunjukkan barang dan dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis Perak meminta supaya masyarakat yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan jenayah khususnya perjudian haram, pelacuran, serta salahguna kuasa supaya tampil dengan maklumat terperinci dan tidak bersikap 'baling batu sembunyi tangan' melalui dakwaan di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tuduhan secara rambang dan pukul rata di media sosial tanpa memberikan maklumat terperinci boleh menjurus kepada budaya fitnah.

"Kalau ikhlas memberi maklumat iaitu secara tepat, dia patut tampil ke depan, dari situ kita boleh bertindak. Jangan pula 'baling batu sembunyi tangan'.

"Kalau maklumat diberi secara rambang, boleh dikatakan di mana-mana bahkan di seluruh Malaysia pun ada kegiatan perjudian haram umpamanya.

"Jadi, tampil kepada kita beri lokasi tepat di mana kegiatan itu berlaku," katanya dalam sidang media mengenai kejayaan menumpaskan makmal pemprosesan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tular di Twitter menggunakan nama pengguna Edisi Siasat, mendakwa Polis Perak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melindungi kegiatan perjudian dalam talian serta pelacuran di empat daerah di Perak.

Mior Faridalathrash berkata, kemungkinan tetap wujud mengenai keberadaan kegiatan haram di daerah yang dimaksudkan namun tindakan sentiasa diambil secara serius selain memberi jaminan tiada kompromi berhubung kegiatan itu.

Malah, katanya, beliau sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah (KPD) di Perak mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan haram terbabit selain turut bekerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi membanteras kegiatan itu.

"Contohnya kalau kita buat serbuan di pusat hiburan yang menjadikan warga asing sebagai pelayan, kita sendiri akan tulis surat kepada PBT terbabit supaya membatalkan terus lesen premis berkenaan," katanya.

Katanya, pemberi maklumat yang tampil tidak perlu khuatir kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Media sebelum ini pernah beberapa kali melaporkan mengenai siasatan polis ke atas pemilik portal Edisi Siasat yang kerap menyiarkan berita sensasi mengenai isu rasuah, salah guna kuasa, serta penyelewengan dalam kalangan agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 12:31 PM