ANTARA wanita yang ditahan. FOTO ihsan Polis
ANTARA wanita yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis Pulau Pinang menahan enam wanita Indonesia disyaki pelacur dalam Ops Noda di Kampung Deli, 7 malam tadi.

Dalam operasi itu, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat Dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) turut menahan enam pelanggan serta lelaki dan wanita dipercayai penjaga wanita warga asing berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil intipan dan maklumat awam itu pihaknya berjaya membongkar kegiatan persundalan yang dijalankan di situ.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan keenam wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 30-an ditemui berada di dalam premis itu.

Katanya, polis turut menahan seorang lelaki dan wanita berusia 48 tahun yang disyaki bapa dan ibu ayam yang melindungi dan mengajikan wanita warga asing tanpa kebenaran.

"Hasil pemeriksaan, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan, empat lelaki Nepal dan satu Myanmar berusia antara 21 hingga 29 tahun yang disyaki pelanggan.

"Kesemua mereka kemudian dibawa ke IPDTL untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba mengeksploitasi mana-mana orang dengan tujuan pelacuran dan sekiranya disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau sebatan dan juga dikenakan denda.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 372B kanun yang sama kerana cuba menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 55 (b) kanun yang sama iaitu melindungi dan mengajikan pekerja warga asing secara haram dan Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda F tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 12:38 PM