SEBAHAGIAN daripada enam wanita yang ditahan dalam operasi dibawa ke balai polis untuk siasatan.
SEBAHAGIAN daripada enam wanita yang ditahan dalam operasi dibawa ke balai polis untuk siasatan.

Georgetown: Malang bagi seorang lelaki selepas dia dicekup bersama enam wanita warga asing dipercayai ketika melanggan perkhidmatan seks di sebuah pangsapuri di Jelutong, malam kelmarin.

Dalam Op Noda, bermula jam 11 malam, serbuan membabitkan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) hasil maklumat awam diterima mengenai kegiatan pelacuran itu.

Ketika serbuan dilakukan, polis menahan lelaki dipercayai pelanggan berusia 20-an itu dan enam wanita warga Vietnam berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, sindiket pelacuran itu sebelum ini beroperasi di hotel sekitar negeri ini, namun berpindah ke pangsapuri berkenaan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Sindiket berkenaan mengubah taktik mereka dengan beroperasi dari pangsapuri ia berikutan kekerapan serbuan dilakukan pihak berkuasa di hotel,” katanya.

Turut ditahan dalam serbuan sama ialah seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 40-an yang disyaki bapa ayam bagi membantu siasatan kes terbabit.

Mior Faridalathrash berkata, pelanggan biasanya dikenakan bayaran antara RM100 ke RM150 untuk mendapatkan perkhidmatan seks daripada wanita warga asing berkenaan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 372 (a) Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba mengeksploitasi orang dengan tujuan pelacuran dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau sebatan dan juga dikenakan denda.

Beliau berkata, siasatan juga mengikut Seksyen 372 (b) kanun yang sama kerana menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:11 AM