Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis Perak mengenalpasti wujudnya satu kegiatan menyalahi akidah berlaku di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun perkara tidak boleh didedahkan secara terperinci berikutan kes masih dalam siasatan.

"Kami memang sudah mengenalpasti satu kegiatan yang beroperasi di negeri ini menjalankan kegiatan menyalahi akidah.

"Kami menyerahkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk memaklumkan berhubung isu terbabit dan kami sudah berbincang mengenai perkara itu.

"Difahamkan, pihak JAIPk akan mengeluarkan kenyataan selepas ini, jadi kami akan menyerahkan kepada JAIPk untuk mendedahkan isu ini kepada masyarakat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengenalpasti pemilik akaun yang memuat naik video secara penstriman langsung di Facebook mengenai kumpulan ulama serta kemunculan Imam Mahdi di Sabah.

Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, siasatan pihaknya masih dijalankan biarpun video dimuat naik pemilik akaun itu sudah dipadam.

Bulan lalu, tular video berdurasi lapan minit 56 saat memperlihatkan seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Kuala Kangsar.

Menerusi rakaman itu, lelaki itu mendakwa kononnya bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi yang kononnya berada di Sabah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis turut sedang memburu lima suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan kes Seksyen 130V Kanun Keseksaan dan lima lagi suspek bagi Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diharapkan dapat memberikan maklumat mengenai orang yang dikehendaki," katanya.

KETUA Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di IPK Perak, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
KETUA Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di IPK Perak, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:41 PM