POLIS menahan 181 individu atas pelbagai kesalahan dalam Op Limau Kontinjen Johor yang dijalankan bermula 5 hingga 15 Feb lepas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina. FOTO Bernama
POLIS menahan 181 individu atas pelbagai kesalahan dalam Op Limau Kontinjen Johor yang dijalankan bermula 5 hingga 15 Feb lepas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina. FOTO Bernama
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menahan 35 individu dalam Op Limau di negeri ini bermula 5 sehingga 15 Februari lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, ia membabitkan 23 lelaki dan 12 wanita, berusia 20 hingga 75 tahun.

"Sepanjang tempoh operasi, pasukan serbuan melaksanakan sebanyak 10 serbuan dan tangkapan seramai 35 individu berserta rampasan wang tunai RM54,911.

"Selain itu, pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan judi, antaranya chip pelbagai nilai, daun terup, buah dadu, batu mahjong, buah domino dan kain putih tertera simbol-simbol gambar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, operasi ini bertujuan untuk mengekang aktiviti perjudian yang dianjurkan oleh individu dan sindiket yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan sempena Tahun Baharu Cina.

"Perjudian yang lazimnya dikategorikan sebagai judi dalam dan luar bangunan ini merujuk kepada permainan judi tradisional dan judi yang diubah suai daripada tradisional kepada perkembangan semasa.

"Antaranya, domino, kua merah, daun terup, mahjong, dan Cap Ji Kee. Lokasi serbuan membabitkan daerah Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kota Belud dan Semporna," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 9:08 AM