NIK Ezanee (dua kanan) menunjukkan barang rampasan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
NIK Ezanee (dua kanan) menunjukkan barang rampasan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


WANITA bergelar nenek antara 12 individu ditahan ketika leka berjudi mahjong di rumah di Jalan SS2/4, Petaling Jaya, kelmarin.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu menahan sembilan wanita dan tiga lelaki berusia 47 hingga 83 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu berkenaan ditahan ketika leka bertaruh.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui tujuh meja yang dijadikan tempat untuk bermain mahjong.

"Polis merampas pelbagai jenis barang yang digunakan untuk aktivit perjudian, cip dan wang tunai RM8750 dipercayai wang pertaruhan,"katanya pada sidang media, di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, semua individu yang ditahan turut dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Semua individu berkenaan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 1:17 PM