WANG serta barangan rampasan hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Sawah, Bukit Pelandok, Port Dickson. FOTO ihsan Polis
WANG serta barangan rampasan hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Sawah, Bukit Pelandok, Port Dickson. FOTO ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lapan sekawan ditahan ketika berjudi di sebuah rumah di Kampung Sawah, Bukit Pelandok di sini, jam 4.45 petang, 30 Januari lalu.

Turut dirampas antaranya wang RM960, 112 batu Gin Rummy, dua dadu serta empat helai kertas Mahjong.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan Ops Limau dan Ops Tahun Baru Cina dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

"Rumah terbabit tidak berkunci dan kami kemudiannya menahan lapan individu, termasuk seorang perempuan, ketika empat daripada mereka leka berjudi di dapur.

"Semua suspek yang berusia 37 hingga 64 tahun dan barang rampasan dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut," katanya.

Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati, lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000, penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 12:33 PM