FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Individu positif Covid-19 kategori 1 yang tiada gejala, bergejala ringan dan tidak berisiko tinggi berusia bawah 60 tahun serta tidak mempunyai sebarang komorbid di negeri ini tidak lagi perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Pengarah Kesihatan negeri Dr Othman Warijo berkata, ini kerana, pihaknya akan melaksanakan pemberian dan pelepasan secara digital perintah pengawasan di rumah (HSO) di semua daerah melalui aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, individu terbabit juga tidak perlu hadir bagi pemakaian gelang merah jambu.

"Individu yang menjadi kontak rapat, tiada gejala tidak perlu hadir ke CAC dan tidak perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19.

"Mereka akan diberikan HSO digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman dengan pemantauan kendiri dilaksana melalui MySejahtera.

"Pelepasan digital HSO akan diberi setelah tamat tarikh kuarantin tanpa ujian ulangan (sekiranya tiada gejala)," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Dr Othman berkata, senarai kes positif dan kontak rapat ini akan dikongsi bersama polis bagi membantu pemantauan pematuhan HSO di rumah individu.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Kedah mencatatkan kumalatif kes jangkitan Covid-19 berjumlah 184,514 setakat 8 Februari lalu.

"Kedah mencatatkan kes harian empat digit iaitu 1,448 kes (Isnin), 1,463 kes (Selasa) dan 1,569 kes semalam (Rabu).

"Peningkatan kes harian ini seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berkaitan jangkitan Omicron yang melanda negara," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, majoriti kes positif di negeri ini adalah tanpa gejala dan bergejala ringan yang diletak di bawah isolasi serta kuarantin rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 4:10 PM