Dr Ding Lay Ming
Dr Ding Lay Ming
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menafikan dakwaan memberi pelepasan kepada kontak rapat pesakit Covid-19 dalam kalangan kru produksi yang membuat penggambaran di Kuala Kangsar untuk pulang ke ibu negara.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, penilaian risiko yang dijalankan mendapati hanya tujuh individu dalam produksi perfileman itu yang menjadi kontak rapat berisiko tinggi, manakala selebihnya bukan dalam kategori itu.

Katanya, tujuh individu itu pula diarah menjalani kuarantin di Kuala Kangsar di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Ketika ini kontak rapat itu tidak bergejala, namun mereka sudah diingatkan supaya memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan segera jika mengalami gejala Covid-19.

"Mereka semua diberikan HSO, dipakaikan gelang pengawasan dan dikuarantin di Kuala Kangsar, (justeru) tiada kontak rapat yang dikenal pasti, dilepaskan balik ke Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook hari ini.

Dr Ding menegaskan kru yang dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur adalah kelompok yang selesai menjalani penilaian risiko dan bukan kontak rapat.

Terdahulu, Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia Mohd Dean Lau Abdullah mendakwa ada kru produksi yang menjalani penggambaran di Perak pulang ke ibu kota selepas tujuh anggota produksi positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 1:55 PM