Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membangunkan pusat penilaian Covid-19 (CAC) secara maya, yang akan digunakan pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kapasiti pesakit di CAC sedia ada dapat dikurangkan dan tidak berlaku kesesakan.

Menurutnya, ia akan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk pemantauan lanjut sepanjang kuarantin di rumah.

"Mereka tidak akan dipakaikan gelang namun masih tertakluk kepada Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan perlu mematuhi segala peraturan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

DATUK Dr Chong Chee Kheong yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Greater Klang Valley. FOTO Bernama.
DATUK Dr Chong Chee Kheong yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Greater Klang Valley. FOTO Bernama.

Sementara itu, Dr Sha'ari berkata, keadaan CAC di Stadium Malawati hari ini semakin baik tanpa berlaku kesesakan teruk seperti beberapa hari lalu.

Menurutnya, kakitangan di CAC berkenaan juga sudah ditambah dengan penambahbaikan dalam sistem penilaian.

"Hari ini dianggarkan 3,000 kes dianggarkan membuat penilaian di CAC Stadium Malawati dan berjalan lancar.

"Sementara, di CAC Sri Andalas di Klang pula dianggarkan 2,000 kes hari ini dan proses penilaian berjalan lancar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:36 PM