Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang didapati positif Covid-19 diminta tidak hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sekiranya tidak bergejala atau bergejala ringan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan individu berkenaan perlu mengasingkan diri serta merta dan menjalani tempoh kuarantin di rumah.

v"Individu terbabit perlu memaklumkan keputusan ujian saringan di aplikasi MySejahtera dan digital Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) akan diberikan.

"Mereka juga perlu melengkapkan Home Assessment Tool (HAT) di MySejahtera. Penilaian kendiri pesakit akan dipantau oleh CAC Maya dan pesakit akan dihubungi jika perlu," katanya.

Menurut kenyataan itu, pesakit yang perlu ke CAC berhampiran untuk penilaian lanjut klinikal akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera atau dihubungi Pusat Panggilan CAC.

"Pesakit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi CAC Call Centre di talian 03-77239299 (8 pagi hingga 9 malam setiap hari) atau CPRC Hotline di talian 03-77239300 (8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari).

"Pesakit perlu segera ke hospital jika gejala menjadi semakin teruk. Peraturan terbaharu ini bagi memastikan pesakit tidak perlu menunggu lama di CAC dan pesakit yang bergejala teruk mendapat rawatan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:28 PM