Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kawasan pesisir pantai Batu Feringghi, di sini, yang dahulu dikenali dengan keindahannya kini dipenuhi bongkah batu diletakkan bagi menahan hakisan tebing sehingga mencacatkan pemandangan.

Keadaan itu bukan sahaja membahayakan pengunjung, malah turut mengancam keselamatan penginap di hotel berhampiran.

KAWASAN pesisir pantai Batu Feringghi, di sini, yang dahulu dikenali dengan keindahannya kini dipenuhi bongkah batu. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KAWASAN pesisir pantai Batu Feringghi, di sini, yang dahulu dikenali dengan keindahannya kini dipenuhi bongkah batu. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, pihaknya banyak menerima aduan berhubung bongkah batu berhampiran hakisan tanah itu sejak penghujung tahun lalu.

Katanya, orang ramai mengadu bongkah batu itu kini mengubah pemandangan pesisir pantai selain dikhuatiri mendatangkan kecederaan kepada pengunjung.

"Bongkah batu itu bukan sahaja diletakkan di tebing bagi mengelak hakisan, tetapi turut terdapat di pesisir pantai dan boleh membahayakan nyawa pengunjung ketika mandi manda.

"Manakala hakisan berlaku sejak tahun lalu itu kini sudah membabitkan sepanjang hampir dua kilometer (km)," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Subbarow berkata, bongkah batu dan kawasan hakisan hanya terletak tidak jauh dari beberapa hotel terkemuka, sekali gus mengundang bencana kepada pelancong kerana tidak mengetahui bahaya sedang menanti.

Menurutnya, tiada papan tanda amaran menandakan supaya orang ramai berhati-hati di kawasan berbatu berkenaan.

"Hakisan itu semakin membimbangkan, runtuhannya pula setinggi lebih dua meter (enam kaki) dan dapat dilihat dengan jelas di kawasan turut popular dengan beberapa aktiviti sukan air itu.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri atau pihak berkuasa berkaitan diminta supaya menggunakan kaedah lain bagi menghalang hakisan pantai dan menggantikan bongkah batu itu.

"Meletakkan bongkah batu di kawasan ini adalah tidak wajar dan perlu fikirkan kaedah lain yang lebih selamat bagi mencegah hakisan," katanya.

Tinjauan mendapati terdapat bongkah batu tajam diletak berhampiran hakisan tebing dan pesisir pantai itu turut menghalang laluan.

Terdapat tali pita dipasang sepanjang kawasan runtuhan sebagai amaran kepada orang ramai.

Pada 6 Januari lalu, sebuah menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang setinggi kira-kira 10 meter, tumbang dipercayai berpunca akibat hakisan ombak besar di pesisir pantai itu sejak penghujung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 7:56 PM