Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
Samadi Ahmad


Putrajaya: Penubuhan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) sebagai badan perantara akan mewujudkan ekosistem TVET lebih bersepadu khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, GITC selari dengan agenda dan aspirasi kementerian untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.

Beliau berkata, KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.

"Penubuhan GITC yang diterajui pihak industri membolehkan pihak industri dan kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan berkualiti.

"Menerusi Hub Kolaborasi TVET, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) terdiri dari Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mahdzir berkata, UniKL bersedia memainkan peranan dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.

Menurutnya, untuk rekod, KPLB mempunyai 279 institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.

Katanya, antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuklah kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif.

Khamis lalu, media melaporkan Mesyuarat Majlis Pendidikan TVET Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan penarafan tunggal TVET.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, proses libat urus beberapa kementerian dan penggiat industri perlu dilaksanakan, sebelum laporan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis TVET akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 1:30 PM