Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat MTVET secara telesidang.
Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat MTVET secara telesidang.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan menubuhkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) bagi memfokuskan pembangunan modal insan khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, badan dianggotai 12 persatuan membabitkan sektor industri itu akan bekerjasama dengan 11 kementerian yang diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, persetujuan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis TVET Negara  (MTVET) secara telesidang yang turut dihadiri 13 menteri, tokoh industri termasuk daripada Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar. 

"Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

"Sejumlah 12 hab dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti, pelancongan dan teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah serta Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri memberitahu mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.

Katanya, inisiatif itu dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak yang terbabit untuk merapatkan jurang antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

Tambah beliau, usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta Bajet 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET.

"Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan kerana TVET terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1 supaya mereka boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan.

Untuk rekod, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET di seluruh negara yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Elemen itu katanya, berupaya menjadikan seseorang belia lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya yang mencabar.

"Menyedari kepentingan TVET, mesyuarat bersetuju kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.

"Melalui kempen dan promosi ini, kita mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 4:48 PM