Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Saya suka bermain badminton namun keadaan kaki yang tidak akan pulih sepenuhnya menyebabkan saya memendam impian itu.

"Semoga ada keajaiban dan saya juga berhasrat ingin bertemu dengan pemain perseorangan negara Lee Zii Jia suatu hari nanti," kata Fazril Hakimi Ahamad, 17, dari Penanti, Seberang Perai Tengah di sini, yang mengidap kanser tulang tahap empat sejak 2014.

Kanser dideritai Fazril Hakimi itu menyebabkan kaki kirinya tidak dapat bergerak dengan baik sehingga terpaksa menggunakan tongkat dan kerusi roda, selain perubahan ketara pada suaranya.

Ibunya Rosna Zabidi, 54, berkata, Fazril Hakimi disahkan mengidap penyakit itu selepas dikesan mempunyai benjolan pada lutut.

Suri rumah itu berkata, sehingga kini anak bongsu daripada empat beradik itu sudah menjalani pelbagai pembedahan dan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

"Fazril Hakimi bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak menghadapi masalah dalam pelajaran di sekolah, cuma pergerakannya terbatas.

"Sebagai ibu, sudah tentu saya reda dengan ujian yang menimpa dan kami sekeluarga memberi sokongan serta dorongan dalam pergaulannya dengan menyertai pelbagai aktiviti bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO)," katanya kepada Harian Metro.

Rosna dan Fazril Hakimi ditemui ketika majlis anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) di Taman Jajar, Jalan York di sini, hari ini.

Presiden Foccan Maznah Tayib berkata, majlis yang diceriakan dengan pelbagai aktiviti itu dianjurkan sempena Hari Kanser Sedunia, bagi kanak-kanak pengidap kanser yang baru selesai menjalani rawatan intensif.

Majlis itu dihadiri seramai 40 kanak-kanak pengidap kanser dan yang sudah sembuh berusia antara tiga hingga 20 tahun dari sekitar Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 3:14 PM