AUDREY (dua dari kanan) menyerahkan cek sumbangan Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP kepada Rosna (dua dari kiri) sambil diperhatikan Fazril Hakimi (tengah) di Kampung Petani, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
AUDREY (dua dari kanan) menyerahkan cek sumbangan Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP kepada Rosna (dua dari kiri) sambil diperhatikan Fazril Hakimi (tengah) di Kampung Petani, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
Nur Izzati Mohamad


REMAJA lelaki yang menghidap kanser tulang tahap empat mahu terus mendapat sokongan daripada individu sekeliling untuk membolehkan dia tekad melawan penyakitnya sekali gus kembali sembuh.

Fazril Hakimi Ahmad, 14, mengakui bantuan dan sokongan diperolehinya sepanjang melawan penyakit itu secara tidak langsung banyak membantu memulihkan semangatnya apatah lagi terasa diri sentiasa dihargai.

Biarpun kaki kirinya masih tidak kuat untuk berjalan selepas menjalani beberapa pembedahan sebelum ini, ibunya, Rosna Zabidi, 50, berkata berkat daripada doa dan sokongan individu yang mengambil berat perihal kesihatan anak bongsunya itu menampakkan hasil positif.

“Fazril sebelum ini kerap tidak bersekolah ekoran keadaan penyakitnya, namun dengan sokongan orang sekeliling didapati tahap kesihatannya perlahan-lahan mula baik dan boleh pergi ke sekolah biarpun berkerusi roda.

“Syukur melihat keadaan dia semakin pulih dan berharap sokongan serta bantuan daripada semua pihak, Fazril akan terus tabah melawan sel kansernya daripada terus merebak,” katanya.

Rosna berkata demikian selepas menerima sumbangan cek bernilai RM2,000 daripada Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP yang disampaikan Ketua Biro NSTP Pulau Pinang Audrey Dermawan di rumahnya di Kampung Petani, Bukit Mertajam, hari ini.

Bantuan yang dihulurkan itu adalah sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban individu yang berdepan dengan musibah dan masalah kesihatan ekoran penyakit kronik.

Rosna berkata, dia berterima kasih atas keprihatinan Media Prima-NSTP apabila sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menghulurkan sumbangan bagi merawat penyakit anaknya.

“Sumbangan ini amat memberi makna kepada kami sekeluarga untuk digunakan sebagai kos perubatan dan menghadiri temujanji di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada setiap bulan.

“Ia semestinya meringankan beban apatah lagi suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan tidak memiliki pendapatan tetap,” katanya.

Tahun lalu, NSTP melalui akhbar Harian Metro melaporkan pengorbanan keluarga dan kecekalan Fazril Hakimi melawan kanser tulang yang dihidapnya sejak 2014.

Remaja itu terpaksa tidak ke sekolah selama dua tahun bagi mengubati penyakitnya dan menjalani beberapa pembedahan antaranya menggantikan tulang paha dari bahagian atas hingga bawah lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 10:02 PM