Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Setiap hari Mohd Irfan tanya bila boleh bawa dia ke Zoo Negara? Namun saya tiada jawapan untuk itu. Malah dia sendiri tidak yakin dapat ke sana kerana kesihatan semakin merosot," kata Shahrima Rodzi, 40, ibu kepada Mohd Irfan Kamil Mohd Shukor, 11, pengidap penyakit kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) tahap akhir.

Shahrima berkata, anak kedua daripada tiga beradik yang mesra dipanggil Abang Ngah itu disahkan doktor sudah tidak dapat dirawat selepas hampir empat tahun melawan kanser itu.

Katanya, doktor membenarkan Mohd Irfan pulang ke rumah di Alor Setar, Kedah, selepas seminggu dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

"Sabtu lalu, doktor mengesahkan penyakit Mohd Kamil Irfan tidak dapat dipulihkan dan dia diberi pilihan sama ada mahu terus dipantau di hospital atau dibawa pulang ke rumah.

"Kini anak saya itu hanya terbaring atas katil dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa selain perlu makan empat jenis ubat dengan kerap setiap hari," katanya ketika ditemui di Persiaran Karpal Singh di sini, kelmarin.

Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) Maznah Tayib (kiri) menyerahkan alat bantuan pernafasan mudah alih sumbangan Maybank kepada Shahrima Rodzi (dua dari kiri), bagi keperluan anak keduanya, Mohd Irfan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) Maznah Tayib (kiri) menyerahkan alat bantuan pernafasan mudah alih sumbangan Maybank kepada Shahrima Rodzi (dua dari kiri), bagi keperluan anak keduanya, Mohd Irfan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Katanya Mohd Irfan Kamil disahkan mengidap kanser pada tahun 2020 lalu selepas mengalami sakit sendi akibat terjatuh daripada basikal.

Minggu lalu, Mohd Irfan mengadu sakit badan dan Shahrima membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dirujuk ke HPP dengan dibawa menaiki ambulans.

"Sangat sedih dan saya kehilangan kata-kata apabila diberitahu sudah tiada ubat yang boleh merawat penyakit kanser Mohd Irfan," katanya.

Shahrima berkata, dia dan suami, Mohd Shukor Bashah, 44, berusaha menggembirakan Mohd Irfan dengan menghabiskan masa bersama.

"Jika Abang Ngah 'kuat', saya akan berusaha membawanya ke Zoo Negara dan cuba penuhi impiannya," katanya.

Terdahulu, Shahrima ditemui pada Program Maybank Group Global CR Day bersama Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) yang disertai kira-kira 70 pesakit kanser kanak-kanak.

Pada program itu, Maybank menyampaikan sumbangan alat bantuan pernafasan mudah alih kepada FOCCAN, bagi keperluan kanak-kanak pengidap kanser yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 11:16 AM