RICHARD (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek sebagai simbolik penyerahan sumbangan kepada rumah kebajikan disaksikan Kon Yeow (dua dari kanan). FOTO Zuhainy Zulkiffli
RICHARD (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek sebagai simbolik penyerahan sumbangan kepada rumah kebajikan disaksikan Kon Yeow (dua dari kanan). FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lima persatuan dan rumah kebajikan di negeri ini masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada taman tema tertutup, The TOP Penang bagi manfaat kepada penghuni di bawah jagaannya.

Sumbangan keseluruhan sebanyak RM50,000 itu diserahkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group (OWG) Bhd, Tan Sri Richard Koh dengan disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu majlis di sini, semalam.

Sumbangan diberi kepada Penang Shan Children's Home Association, Pusat Kanak-kanak Istimewa Pulau Pinang, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang, Persatuan Kebajikan Warga Emas Harmoni Pulau Pinang dan Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan).

Richard berkata, ia adalah sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) The TOP Penang.

"Taman tema tertutup ini sudah memberi sumbangan kepada beberapa lagi rumah kebajikan dan kali ini kepada rumah kebajikan lain yang terpilih," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Foccan, Maznah Tayib berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan yang akan digunakan bagi memberi sumbangan awal kepada kanak-kanak pengidap kanser di wilayah utara.

Antara keperluan pesakit berkenaan adalah bagi membayar kos pengangkutan ke hospital, membiayai rawatan transplant dan pembelian barangan perubatan.

"Sehingga kini terdapat lebih 700 kanak-kanak pengidap kanser bersama Foccan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 11:48 AM