Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sebuah rumah pangsa di Muar dekat sini, yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis dadah diserbu polis dalam tiga serbuan pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, dalam serbuan pada 6 petang hingga 1.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan pengedaran dadah itu aktif beroperasi sejak Disember tahun lalu.

Mohd Afzanizam (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan hasil penahanan seorang lelaki tempatan bersama dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Muar ketika sidang media di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan
Mohd Afzanizam (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan hasil penahanan seorang lelaki tempatan bersama dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Muar ketika sidang media di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan

"Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebuah unit rumah pangsa yang disewa RM500 sebulan, khusus untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.

"Dadah yang dirampas ini ditemui disorokkan di bawah kabinet almari di satu sudut di rumah pangsa terbabit.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 10 kilogram (kg) heroin, 388 gram syabu dan 250 biji pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM176,697," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Afzanizam berkata, polis turut merampas wang tunai bernilai RM685.

Menurutnya, suspek lelaki yang ditahan itu dipercayai bertindak sebagai 'runner' kepada sindiket berkenaan, didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki itu ditahan reman selama enam hari bermula 31 Januari lalu hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil siasatan mendapati bekalan dadah diperolehi dari utara Semenanjung bagi pasaran di Muar. Ia boleh digunakan oleh seramai 51,990 orang penagih.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan," katanya.

Pada bulan lalu, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 1,873 orang bagi pelbagai kesalahan dadah dan merampas 834.87kg dadah bernilai RM2.52 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 1:43 PM