Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sepasang suami isteri antara tujuh ditahan kerana dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah bernilai RM4.2 juta menerusi empat serbuan berasingan di daerah ini, di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan antara 21 hingga 28 Oktober lalu itu membawa kepada penahanan semua individu tempatan termasuk seorang wanita warga asing berusia 39 hingga 48 tahun.

Katanya, sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun ini dipercayai memperoleh dadah dari negara jiran untuk diedarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Serbuan dijalankan di rumah yang dipercayai dijadikan tempat pembungkusan selain keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 587,222 penagih.

RAZARUDIN (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
RAZARUDIN (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Hasil serbuan, JSJN berjaya merampas dadah antaranya 115.1 kilogram syabu, 528 gram ketamin, 52.8 gram ecstasy, 91.8 gram dadah jenis mushroom, selain 10.5 gram Eramin 5 dan 9.17 gram pil yaba.

"Saringan awal air kencing mendapati enam suspek termasuk suami isteri yang juga dalang sindiket itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua direman bagi tempoh dari tarikh tangkapan sehingga esok untuk membantu siasatan.

Katanya, semakan mendapati lima individu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana sehingga kini, JSJN sudah menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM689,601," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 1:16 PM