Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penjawat awam dan pegawai eksekutif wanita sebuah badan berkanun, antara 10 suspek ditahan kerana menganggotai sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan dalam serbuan di Kulai dan Johor Bahru Utara (JBU), minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan operasi khas membabitkan tujuh serbuan di kawasan berkenaan pada 8 Ogos lalu.

Katanya, sindiket penyeludupan dadah yang aktif sejak Disember 2019 itu dikesan menyeludup dadah dari negara jiran dengan menggunakan lori sejuk beku yang dihantar ke Kota Bahru, Kelantan, bagi mengambil bekalan dadah.

"Hasil serbuan dan siasatan polis mendapati, sindiket berkenaan menggunakan surat rentas negeri membabitkan penghantaran produk makanan sejuk beku bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua lori sejuk beku yang digunakan bagi mengambil bekalan dadah di sempadan Kelantan, mendapati ia diubahsuai dengan ruangan simpanan khas di lantai ruangan belakang lori berkenaan.

"Ruangan khas itu sedalam sembilan sentimeter itu bagi menyembunyikan dadah diseludup yang dipercayai dipindahkan dari kereta yang masuk dari negara jiran.

Antara 174 ketul ganja mampat bernilai RM441,163.63 yang dirampas dalam satu operasi khas di sekitar kawasan Kulai dan Johor Bahru Utara, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Antara 174 ketul ganja mampat bernilai RM441,163.63 yang dirampas dalam satu operasi khas di sekitar kawasan Kulai dan Johor Bahru Utara, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Dadah berkenaan kemudian dibawa ke negeri ini bagi diedarkan ke pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam serbuan pertama, dua suspek lelaki berusia 36 dan 48 tahun ditahan bersama sejumlah dadah jenis ganja menyebabkan lima serbuan susulan dibuat.

"Seramai empat lelaki berusia 28 hingga 43 tahun bersama seorang wanita berusia 45 tahun ditahan susulan serbuan pertama dilakukan.

"Tiga lagi suspek lelaki berusia antara 26 hingga 28 tahun turut ditahan selepas itu menjadikan jumlah yang ditahan membabitkan 10 suspek.

"Polis berjaya merampas 175.65 kilogram ganja membabitkan 174 ketulan bernilai RM441,163.63, dengan dalam serbuan itu," katanya.

Ayob Khan berkata, polis turut merampas dua lori, enam kereta, dua motosikal, wang tunai berjumlah RM45,550, pelbagai barang kemas bernilai RM16,076.90 selain menyita sebuah akaun bank bernilai RM6,972.22.

Katanya, daripada 10 suspek yang ditahan lapan didapati positif dadah manakala tujuh mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua 10 suspek direman 14 hari bermula 9 Ogos lalu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 2:18 PM