GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sehingga hari ini, seramai 484,639 kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi Program Pemberian Vaksin Kanak-kanak (PICKids) yang dijadualkan bermula 3 Februari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi PICKids Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin Covid-19.

Beliau menekankan bahawa vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan.

"Ini juga disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari lalu.

"Sebagaimana semua sedia maklum, Menteri Kesihatan sudah memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022 melalui PICKids.

"Vaksin mRNA iaitu Comirnaty® 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan," katanya dalam sidang media secara hibrid, hari ini.

Beliau berkata, penghantaran pertama vaksin itu akan tiba esok dan akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara.

Katanya, dengan ketibaan vaksin Pfizer (kanak-kanak), itu pemberian vaksin akan bermula pada 3 Februari depan.

"Pengambilan vaksin ini adalah amat digalakkan bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara.

"Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

"Seterusnya, ia akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kaedah pemberian lain yang sudah dikenal pasti adalah PPV Offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach)," katanya.

Beliau berkata, KKM juga sudah memulakan kerjasama dengan agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19.

"Saya juga mengalu-alukan pakar kanak-kanak swasta turut menyertai PICKids melalui ProtectHealth Corp sekiranya mereka belum terbabit dalam program ini.

Katanya, sistem tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu.

Katanya, melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

"KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka.

"Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, sistem ini akan dimuat naik di play store pada hari ini dan oleh diakses dalam masa terdekat.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga perlu mengemaskini aplikasi MySejahtera dan mendaftarkan anak-anak sebagai tanggungan dalam aplikasi itu.

Katanya, ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang akan menerima pautan untuk membuat tempahan janji temu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 4:56 PM