VAKSIN Covid-19 jenis CoronaVac. FOTO arkib NSTP
VAKSIN Covid-19 jenis CoronaVac. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pemberian vaksin CoronaVac (Sinovac) yang diluluskan pada 3 Mac lalu kepada kanak-kanak akan bermula esok.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemberian vaksin berkenaan hanya akan diberikan kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty (Pfizer) atas faktor kesihatan.

Beliau berkata, selain itu ibu bapa juga diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin Sinovac ini kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju untuk memberikan pelalian jenis Pfizer.

"Mulai esok (7 Mac), Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula menawarkan vaksin Sinovac ini di Pusat Pemberian Vakin (PPV) terpilih dan ibu bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi PPV yang menawarkan vaksin berkenaan secara walk-in di laman web KKM serta PHCorp," katanya dalam kenyataan hari ini.

CoronaVac adalah vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya selepas vaksin Comirnaty.

Sebelum ini, antara PPV yang boleh memberikan vaksin kepada kanak-kanak secara walk-in adalah PPV Mega Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, PPV Soka Gakkai dan PPV Axiata.

Dalam pada itu Dr Azmi Ghazali, penawaran vaksin Sinovac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp dibawah PICKids adalah secara percuma.

"Selain daripada program PICKids, terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin Sinovac kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan bayaran," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, vaksin Sinovac ini hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir dan bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin Sinovac akan diberikan kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan selang masa empat minggu.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, walapun vaksin Sinovac itu sudah diluluskan, namun vaksin Comirnaty (Pfizer) dengan formulari kanak-kanak adalah vaksin yang diberi keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

"Ia termasuklah kanak-kanak yang mempunyai risiko tinggi dan terdapat komorbiditi seperti ada rendah imun atau immunocompromised, penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, kencing manis, obesiti dan penyakit lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 2:05 PM