Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kegiatan mencuri elektrik untuk melombong mata wang digital menggunakan mesin mining Bitcoin di negeri ini tumpas hasil penahanan tujuh suspek dalam serbuan di beberapa kawasan sejak 19 Januari lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 45 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes terbabit dan dibebaskan dengan jaminan.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan di sekitar Sungai Petani, Alor Setar, Langkawi dan Kulim.

"Ada dalam kalangan suspek ditahan itu mempunyai rekod lampau sebelum ini.

"Sejak serbuan 19 Januari lalu, kami melakukan 44 serrbuan dan merampas 3,245 mesin bitcoin bernilai keseluruhan RM3.2 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar.

Wan Hassan berkata, Operasi Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bitcoin itu dilakukan dengan kerjasama TNB dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Beliau berkata, penggunaan mesin Bitcoin pada dasarnya tidak menjadi kesalahan, tetapi jika membabitkan kecurian harta awam, boleh membawa kerugian sehingga berbillion ringgit.

"Kami menjangkakan kegiatan melombong mesin Bitcoin ini dilakukan sejak enam bulan lalu dan akan terus melakukan pemantauan dengan kerjasama JBPM Kedah serta TNB.

"Ini disebabkan ada kesukaran untuk masuk ke sesuatu premis disebabkan kecanggihan pintu dikunci lebih ketat untuk membuka premis itu," katanya.

Wan Hassan berkata, kumpulan itu menyasarkan premis kosong tidak disewa dan tidak ada pembekalan elektrik dan sebagainya untuk mereka membuat penyambungan haram.

Katanya, mereka kemudian melantik pakar yang mahir dalam bidang itu dengan pengaliran arus elektrik dan membuat perlombongan untuk mendapat keuntungan.

"Op Letrik Bitcoin mula dilancarkan sejak 2020 di seluruh negara dan setakat ini, polis Kedah melakukan 85 serbuan dan merampas 5,948 mesin bitcoin dengan anggaran nilai RM6.6 juta.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 5:01 PM
WAN Hassan (dua, kanan) menunjukkan barangan rampasan untuk perlombongan mata wang digital menggunakan mesin mining Bitcoin dalam rampasan di sekitar Kedah dalam serbuan bermula sejak 19 Januari lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
WAN Hassan (dua, kanan) menunjukkan barangan rampasan untuk perlombongan mata wang digital menggunakan mesin mining Bitcoin dalam rampasan di sekitar Kedah dalam serbuan bermula sejak 19 Januari lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli