Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keputusan untuk meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkuat kuasa serta merta, hari ini.

Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor berkata, faktor utama mengambil keputusan berkenaan adalah kerana hilang kepercayaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, mengikut pengamatannya, pemimpin Bersatu ini bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap lebih baik malah tidak berusaha memulihkannya selepas perpisahan dengan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sikap sedemikian bukan saja merencatkan perkembangan parti malah ia juga menjejaskan idealisme penubuhan parti.

"Ia memberi kesan kepada rakyat terutama orang Melayu dan kepentingan Islam.

"Demi kestabilan politik dan masa depan rakyat Johor, menyeru semua pengundi dan penyokong khususnya di DUN Larkin mengundi calon Barisan Nasional (BN).

"Saya yang mengambil keputusan ini dengan berat hati selepas parti saya sokongi selama ini hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya sebelum ini," katanya.

Beliau turut mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurutnya, generasi muda seharusnya diberi peluang dalam PRN sekaligus Barisan Nasional (BN) perlu diberi laluan untuk memerintah kali ini demi memastikan usaha membantu rakyat keluar daripada pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik.

"Ketika PRU14, bukan kami (PH) hebat, tetapi kemenangan ketika itu atas desakan rakyat. Rakyat mahu perubahan dan perkara itu berlaku. Jadi tak letak saya pun orang lain menang.

MOHD Izhar ketika sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHD Izhar ketika sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Namun apabila saya menang, bersyukur, dapat berkhidmat untuk rakyat. Dan prestasi saya sebagai wakil rakyat, sebagai Exco, saya berjaya lepasi sasaran KPI (petunjuk prestasi utama).

"Saya tak ada sebarang kontroversi, apa-apa rekod buruk, malah saya bekerja untuk rakyat," katanya.

Mohd Izhar berkata, atas kesedaran dan keinsafan ini, dia juga akan membantu UMNO untuk ke lanskap lebih baik dan bersama-sama rakyat untuk memperjuangkan agenda orang Melayu, Islam dan keseluruhannya rakyat Johor.

"Cukuplah tugas yang saya galas selama ini dan banyak pengalaman yang saya lalui dan dipelajari.

"Saya tidak akan lagi bertanding di DUN Larkin atau di mana-mana kawasan, namun akan menyertai UMNO serta terus melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat," katanya di sidang media di sini, hari ini.

Mohd Izhar bekas wakil rakyat kedua dari Bersatu, yang mengambil tindakan keluar parti selepas Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang membuat keputusan demikian pada Khamis lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mohd Izhar bertanding di bawah logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan memenangi saingan tiga penjuru di DUN Larkin dengan majoriti 8,590 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 5:56 PM