GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seorang jurujual kedai emas terkemuka di ibu negara terpedaya apabila menjual enam bar jongkong emas seberat 500 gram, tetapi menerima 'cek tendang' daripada pelanggan penipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, dalam kejadian Isnin lalu itu, mangsa yang juga wanita tempatan dihubungi seorang pelanggan yang berminat untuk membeli jongkong emas di kedai emas itu.

Beliau berkata, pada hari sama, pelanggan itu membuat pembayaran menggunakan dua keping cek berjumlah RM147,500 untuk pembelian enam bar jongkong emas seberat 500 gram.

"Semakan awal mangsa mendapati wang itu didebitkan ke dalam akaun syarikat. Pada 24 Januari dan 25 Januari lalu, rakan sekerja mangsa menyerahkan emas itu kepada pelanggan melalui syarikat penghantaran.

"Pada 25 Januari, mangsa dimaklumkan akauntan kedai emas itu bahawa cek diterima adalah 'cek tendang' dan pembayaran sudah dikreditkan.

"Mangsa segera menghubungi pelanggan itu, namun tiada sebarang jawapan. Jumlah kerugian dialami dalam kes itu berjumlah RM147,500," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, butiran suspek tidak diperoleh kerana mangsa berurusan dengan suspek hanya melalui telefon sahaja.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan melakukan semakan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 5:05 PM