GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tawar diskaun bagi melunaskan pembayaran tunggakan bil utiliti. Itu helah licik digunakan sindiket penipuan yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), baru-baru ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima satu laporan polis di Kuala Lumpur membabitkan kerugian berjumlah RM8,500 pada bulan ini dengan kes berkenaan masih dalam siasatan.

"Dalam kes dilaporkan, sindiket itu akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun sekiranya individu berkenaan membenarkan mereka melunaskan bayaran tunggakan terbabit.

"Pihak sindiket memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan terbabit dan mendakwa resit bayaran akan digunakan pihaknya untuk mendapatkan pengecualian cukai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, selepas mendapat persetujuan mangsa, pihak sindiket akan menggunakan cek yang tiada nilai (cek tendang) untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.

"Selepas pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil sudah dibuat.

"Sindiket itu kemudian akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga.

"Mangsa hanya akan menyedari mereka ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek yang dimasukkan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mungkin menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayani sebarang panggilan daripada nombor tidak dikenali dan segala pembayaran bil utiliti perlu dibuat secara terus kepada penyedia perkhidmatan sah.

"Gunakan portal semakmule, https://semakmule.rmp.gov.my untuk membuat semakan kesahihan nombor telefon serta nombor akaun bank yang diragui dan hubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559/1599 sekiranya menpunyai sebarang keraguan atau maklumat berkaitan aktiviti jenayah komersial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 12:29 PM