FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Lapan lelaki ditahan selepas disyaki menghadiri majlis perasmian sebuah pejabat pertubuhan haram, di Bukit Piatu, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan pada 25 Januari lalu.

Beliau berkata, individu itu dikenal pasti selepas dikatakan menghadiri majlis perasmian sebuah pejabat di Bukit Piatu pada 22 Januari.

"Majlis perasmian itu tular di media sosial dan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) iaitu tiada penjarakan fizikal.

"Susulan video tular itu pasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Melaka Tengah menjalankan siasatan dan mengenal pasti serta memanggil 30 individu termasuk dua wanita yang hadir pada majlis itu.

"Daripada 30 individu itu lapan lelaki kemudian ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti sebagai ahli pertubuhan triad yang diwartakan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang serta mempamerkan lambang pertubuhan pada majlis dihadiri," katanya.

Menurut beliau, kesemua mereka ditahan selepas hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Melaka Tengah ketika hadir memberi keterangan.

"Kesemua 30 individu itu turut dikompaun RM1,000 setiap seorang dibawah Peraturan 16 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

"Manakala lapan lelaki yang ditahan itu turut disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 4:09 PM