POLIS memanggil Awie untuk dirakam keterangan kerana didakwa melanggar SOP PKPP. FOTO arkib NSTP
POLIS memanggil Awie untuk dirakam keterangan kerana didakwa melanggar SOP PKPP. FOTO arkib NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie akan dipanggil untuk diambil keterangan susulan dakwaan beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu majlis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, penganjur serta beberapa individu yang terbabit turut akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.43 tengah malam tadi yang memaklumkan berlaku pelanggaran SOP oleh selebriti itu ketika menjayakan majlis misi kemanusiaan.

"Kesemua yang terbabit dalam kes ini termasuk penganjur program akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

"Siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan akan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk sebarang keputusan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis memohon agar individu yang terbabit atau mempunyai maklumat untuk hadir bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan) No. 3, 2021.

"Polis Melaka juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kegagalan berbuat demikian akan diambil tindakan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 42 saat memaparkan Awie bersama beberapa individu tanpa memakai pelitup muka difahamkan persembahan itu berlangsung pada 30 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 1:49 PM