KEJADIAN sekumpulan lelaki mengusung keranda tertera lambang Geng 04. FOTO Ihsan PDRM
KEJADIAN sekumpulan lelaki mengusung keranda tertera lambang Geng 04. FOTO Ihsan PDRM
Nuraliawati Sabri

Melaka: Usung keranda tertera lambang Geng 04 secara beramai-ramai. Itu tindakan 11 lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap yang diberkas polis selepas melakukan perbuatan itu di Taman Cempaka, awal bulan ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua 11 suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu ditahan hasil beberapa siri tangkapan menerusi Ops Cantas Khas sejak 8 Jun sehingga semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar negeri ini bagi membantu siasatan membabitkan insiden itu selepas pihaknya menerima laporan pada 7 Julai membabitkan video berdurasi 20 saat yang dirakam di hadapan sebuah rumah di Durian Tunggal.

"Kejadian dikatakan berlaku semasa upacara penghormatan terakhir ke atas seorang lelaki yang meninggal akibat kemalangan jalan raya pada 6 Julai lalu.

"Selain tangkapan polis turut merampas beberapa pakaian individu yang terbabit semasa upacara mengusung keranda serta telefon bimbit milik seorang daripada suspek," katanya tadi.

Beliau berkata, susulan kejadian itu dua kertas siasatan dibuka pihaknya iaitu mengikut Seksyen 50(3) serta Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 selain suspek direman sehingga 17 Julai ini.

"Selain itu kesemua mereka juga akan dikompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, pihaknya kini juga sedang giat mengesan dua lagi individu yang masih bebas bagi membantu siasatan.

"Mereka dikenali sebagai S Prasant, 25, yang beralamat di Bukit Balai, Durian Tunggal dan S Thilakkumar, 37, beralamat di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dua lelaki terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:02 PM