Syed Hamid Albar
Syed Hamid Albar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Junta Myanmar mesti menghormati keahlian negara itu dalam Asean dengan mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC), kata bekas Menteri Luar Malaysia Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid, yang juga Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar, menegaskan jika junta mahu Myanmar kekal sebahagian daripada blok 10 anggota itu, mereka mesti mematuhi konsensus yang dipersetujui antara pemimpin Asean dan ketua Jeneral Junta Min Aung Hlaing pada April tahun lalu.

"Pada masa ini, tiada rancangan kerja atau tindakan seumpamanya oleh junta bagi mengembalikan keadaan kepada normal. Mereka (junta) masih bertindak ganas terhadap orang yang menentang mereka dan masih melanggar hak asasi manusia dalam tindakan mereka terhadap pihak yang tidak menyokong mereka.

"Junta masih belum mengundurkan tentera dan tidak membenarkan agensi bantuan antarabangsa masuk untuk membantu. Keadaan sangat teruk di Myanmar," katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Myanmar bergolak sejak 1 Februari tahun lalu apabila ketua angkatan tentera Jeneral Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pilihan rakyat yang dipimpin Aung San Suu Kyi dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pergolakan itu.

Bertujuan membantu mencari perdamaian dan memulihkan keamanan di Myanmar, Asean bersetuju dengan 5-PC pada 24 April tahun lalu, yang menyeru penamatan keganasan di Myanmar, perbincangan membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan, mengadakan bantuan kemanusiaan, pelantikan duta khas Asean untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, dan utusan khas dibenarkan melawat negara itu.

Berikutan tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan 5PC oleh junta, mereka diketepikan daripada Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan pada akhir Oktober lalu.

Dalam hal ini, Syed Hamid bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bahawa ASEAN harus mengekalkan keputusannya untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar ke mesyuarat Asean sehingga terdapat kemajuan ketara dalam melaksanakan konsensus.

Beliau berpendapat Asean harus berpegang pada pendiriannya sehingga Myanmar mengikut pendirian bersama kumpulan itu.

"Jika tidak, Asean akan menjadi tidak relevan. Oleh itu, ia tidak boleh menjadi pengantara kepada semua jenis dialog mengenai isu serantau," katanya.

Presiden Indonesia Joko Widodo dalam satu kenyataan pada Ahad menyatakan kekesalan kerana junta Myanmar tidak komited untuk melaksanakan konsensus semasa lawatan Perdana Menteri Kemboja dan Pengerusi Asean Hun Sen ke Naypidaw baru-baru ini.

Semasa perbualan menerusi panggilan telefon dengan Hun Sen yang berlangsung, Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, menekankan bahawa pendekatan Asean terhadap Myanmar harus berdasarkan prinsip yang dipersetujui, khususnya 5PC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 4:29 PM