PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Jakarta, Indonesia bagi menghadiri pertemuan khas pemimpin Asean mengenai Myanmar. FOTO ihsan PMO
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Jakarta, Indonesia bagi menghadiri pertemuan khas pemimpin Asean mengenai Myanmar. FOTO ihsan PMO
AFP

Jakarta: Lapan pemimpin sudah tiba di Jakarta hari ini bagi menyertai pertemuan dengan pemimpin negara Asean berhubung krisis politik dan pergolakan di Myanmar.

Pemimpin yang sudah tiba adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chính; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Ia turut disertai Menteri Luar Negeri Laos, Saleumxay Kommasith dan Menteri Luar Negeri Thailand, Don Pramudwinai.

Utusan khas PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener, juga dijangka menghadiri pertemuan berkenaan.

Ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing dijangka hadir dalam pertemuan itu dalam lawatan luar negara pertamanya sejak tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa dengan menyingkirkan pemimpin dipilih rakyat, Aung San Suu Kyi pada awal Februari lalu.

Protes dijangka berlaku berhampiran ibu pejabat Asean di Jakarta yang dikawal ketat anggota keselamatan.

Persidangan itu juga dilakukan secara tertutup daripada media.

Aung Hlaing kini menjadi fokus kemarahan antarabangsa susulan kudeta tentera dan beberapa serbuan yang menyebabkan lebih 700 individu maut setakat ini.

Tunjuk perasaan besar-besaran oleh rakyat Myanmar yang berang dengan rampasan kuasa itu, dibalas dengan beberapa siri serbuan yang ganas hingga menyebabkan pertumpahan darah di jalanan.

PBB menganggarkan kira-kira 250,000 individu hilang tempat tinggal, manakala pemimpin kanan Myanmar yang dipilih secara demokratik terpaksa bersembunyi atau dikenakan tahanan di rumah.

Pembabitan jeneral tentera Myanmar dalam rampasan kuasa itu mencetus kemarahan aktivis, kumpulan hak asasi dan Kabinet bayangan Myanmar yang disingkirkan, yang tidak diundang dalam pertemuan berkenaan.

Amnesty International menyifatkan krisis yang dicetuskan tentera Myanmar merosakkan negara itu dan akan menyebabkan pelbagai impak lain, sama ada dalam aspek kemanusiaan atau kesan lain di seluruh rantau itu.

"Pihak berkuasa Indonesia bertanggungjawab untuk menyiasat Aung Hlaing dan pegawai tentera Myanmar lain yang menyertai delegasinya ke Jakarta," katanya menjelang pertemuan berkenaan.

Ketika ini, wujud gesaan supaya Myanmar disingkirkan daripada Asean, namun blok itu kebiasaannya mengambil pendirian lepas tangan dalam isu membabitkan hal ehwal dalaman negara anggotanya.

Hanya segelintir penganalisis menjangkakan perkara besar daripada pertemuan itu, dan melihatnya sebagai peluang membawa tentera Myanmar ke meja rundingan dan membuka ruang untuk mencari penyelesaian.

"Kita perlu realistik. Saya tidak rasa pertemuan ini akan membawa kepada perancangan besar untuk membawa Myanmar keluar daripada konflik ini.

"Ia lebih kepada untuk memulakan perbincangan dan mungkin menetapkan parameter untuk mencari penyelesaian," kata penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa dari Solaris Strategies Singapura, Mustafa Izzuddin.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 1:32 PM