Pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-42, di sini, hari ini. FOTO BERNAMA
Pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-42, di sini, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan Bajo (Indonesia): Asean amat bimbang dengan keganasan yang berterusan di Myanmar, khususnya serangan bersenjata ke atas konvoi kemanusiaan.

Pemimpin Asean dalam satu kenyataan menggesa semua bentuk keganasan dan penggunaan kekerasan dihentikan segera bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang selamat dan cepat serta dialog nasional yang inklusif dapat diadakan.

Selain itu, pemimpin Asean turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Mei lalu oleh Presiden Indonesia Joko Widodo selaku Pengerusi Asean sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas konvoi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA) dan Pasukan Pemantau Asean di Myanmar, baru-baru ini.

"Kami mengutuk serangan itu dan dalangnya mesti bertanggungjawab," kata pemimpin Asean.

Pemimpin Asean turut menyokong usaha Joko Widodo, termasuk penglibatan berterusan beliau dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar untuk menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

Lapan pemimpin Asean termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-42, di sini, hari ini untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama badan serantau itu.

Ketua kerajaan Myanmar tidak diundang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 12:43 PM