KEHILANGAN kaki kiri akibat kemalangan langgar lari tidak mematahkan semangat Nor Mohamad Rahmat untuk berdikari. FOTO ihsan Nor Mohamad Rahmat
KEHILANGAN kaki kiri akibat kemalangan langgar lari tidak mematahkan semangat Nor Mohamad Rahmat untuk berdikari. FOTO ihsan Nor Mohamad Rahmat
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Bukan sesuatu yang mudah untuk meneruskan kehidupan apabila 'kekurangan' pancaindera disebabkan kesilapan orang lain.

Itu pengalaman dialami Nor Mohamad Rahmat, 40, yang kehilangan kaki kiri akibat kemalangan langgar lari 22 tahun lalu.

Nor Mohamad terbabit kemalangan langgar lari ketika dalam perjalanan ke Politeknik Johor Bahru untuk menghadiri kuliah.

Kejadian itu mengubah kehidupannya secara total dan memerlukan tongkat untuk melakukan aktiviti harian.

Namun, dia tidak menoleh ke belakang dan terus bangkit melakukan pelbagai kerja sehingga mampu hidup berdikari.

Kini, dia membuka kedai runcit dan gerai burger di Pekan Sungai Balang, Muar sebagai mata pencarian utama sejak beberapa tahun lalu.

"Saya berniaga burger di depan kedai runcit bermula 7.30 malam hingga 11 malam sambil membantu kakak.

"Saya guna kerusi untuk memasak burger dan setakat ini sambut diterima begitu menggalakkan," katanya kepada Harian Metro.

Dia berkata, apa saja akan dilakukan demi mencari sesuap nasi dan kekurangan yang dialami tidak dijadikan sebagai alasan untuk berdiam diri.

Katanya, pengalaman tidak diterima kerja sebaik tamat diploma sebelum ini mengajarnya untuk berdikari tanpa berharap kerja makan gaji.

"Saya mahu buktikan kekurangan yang dialami disebabkan kesalahan orang lain tidak menjadikan seorang yang lemah.

"Bangkit untuk pastikan kita mampu hidup setanding dengan mereka yang normal malah akan buktikan untuk ada kehidupan lebih baik," katanya yang juga pemegang Diploma Elektrik Kawalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 1:41 PM