IZZUL muncul pertaruhkan single Bangkit.
IZZUL muncul pertaruhkan single Bangkit.
Norhayati Nordin


Jika sebelum ini kita lebih mengenali penyanyi dari Brunei, Aziz Harun yang berjaya melakar bakat seni dan namanya di pentas industri muzik Malaysia, kini hadir pula pendatang baharu dikenali sebagai Izzul Amin.

Izzul atau nama sebenarnya Pangiran Md Izul Amin aktif menyanyi sejak kanak-kanak dengan banyak mengikuti pertandingan, membuat persembahan di majlis termasuk menyertai program hiburan terbitan Radio Televisyen Brunei (RTB).

Namun, minat mendalam terhadap seni mendorong Izzul menguatkan semangatnya untuk mencuba nasib di Malaysia berikutan dia juga mampu menyanyikan genre lagu seperti rock, slow rock, pop rock dan balada.

Sering berhubung dengan penyanyi Amir Jahari, pemuda yang memiliki kerjaya tetap sebagai anggota polis di Jabatan Marine Brunei ini berkata, bintang Akademi Fantasia (AF) itu banyak membantunya.

"Apabila sudah hasilkan single Bangkit, saya ada merujuk Amir untuk berkongsi pandangannya dan dia maklumkan lagu saya itu bagus serta ada potensi untuk diketengahkan di Malaysia.

"Amir sarankan saya untuk lancarkan single Bangkit ke Malaysia. Malah, dia (Amir) juga mengesyorkan saya untuk menghantar lagu ini kepada syarikat Luncai Emas. Jadi, saya fikir kenapa tidak mencuba saja," katanya.

Menurut Izzul, mendengarkan nama Luncai Emas memang dia teruja dan enggan melepaskan peluang untuk cuba menghantar single Bangkit itu untuk diberi perhatian oleh syarikat rakaman berkenaan.

KEJAR impian, Izzul meminati nyanyian sejak kecil.
KEJAR impian, Izzul meminati nyanyian sejak kecil.

"Syukur alhamdulillah, keputusan berani yang saya lakukan dengan nekad menghantar single Bangkit kepada Luncai Emas menerima perkembangan yang positif dari pihak terbabit apabila mereka berminat dengan lagu ini.

"Terdahulu, rakaman lagu ini saya rakamkan di EE Studio, Brunei. Single Bangkit ini adalah hasil ciptaan komposer Ezuone berdasarkan kisah perjalanan dan perjuangan hidup saya sendiri dalam usaha mengembangkan kerjaya seni.

"Bangkit mengisahkan perjalanan seorang penggiat seni yang berkali-kali jatuh, tetapi masih gigih ingin mencapai impiannya dan memastikan dia meraihkan kejayaan," katanya.

Izzul berkata, single Bangkit ialah sebuah lagu yang sangat memberi motivasi kepada dirinya dan mungkin ramai orang. Katanya, dia mahu berkongsi semangat supaya tidak mudah mengalah dalam apa saja yang diperjuangkan dalam hidup untuk dicapai.

Selain itu, Izzul memaklumkan dia juga berpegang kepada keyakinan rezeki adalah ketentuan Allah. Katanya, bagaimanapun tetap kena berusaha kerana setiap rezeki yang diaturkan oleh Allah itu sangat cantik.

Sudah mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan Nurul Hazimah Hamdan katanya, dia juga berhasrat ingin tampil dengan lagu duet bersama isteri tercinta serta penyanyi Brunei lain seperti Leehin Titanz dan Alilah.

Sehubungan itu, Luncai Emas yang bertindak sebagai pengedar single Bangkit sudah memuatkan lagu ini ke platform digital seperti Youtube, Itunes dan kini boleh di strim di Spotify, Apple Music serta Joox sejak 12 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:30 AM