Siti Hafiza dan Aliff
Siti Hafiza dan Aliff
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Ibu kepada selebriti sensasi, Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza Basharahil menitipkan kata-kata semangat buat anaknya yang kini sedang bergelut dengan pelbagai ujian dan kontroversi.

Siti Hafiza yang memuat naik hantaran video nyanyian Aisyah Aziz pada perkongsian itu menjelaskan, Aliff tidak bersendirian dalam menghadapi ujian itu dan mereka sentiasa ada di belakangnya tak kira apa saja berlaku.

"Masyaallah tabarakallah Alhamdulillah hidup mati rezeki kita semua Allah yang tentukan, bukan manusia.

"Inilah peringatan yang selalu anakanda kami Aisyah Aziz pesan pada kami. Masya-Allah yang penting ikhlas dan niat kerana Allah.

"Khas buat anakanda Aliff Aziz, lagu ini khas untuk kamu oleh adik perempuanmu. Jangan pernah takut, kamu tak pernah bersendirian. Allah sentiasa bersamamu, kami juga ada di belakangmu tak kira apa juga yang berlaku," tulisnya.

Siti Hafiza berkata, dia menganggap ujian yang dilalui pasti ada hikmah yang tersirat.

"Allah sayang abang dan Allah Maha Baik, pasti ada hikmah dalam apa jua ujian yang datang. Tiada siapa yang sempurna.

"Bangkit dan semoga Allah permudahkan perjalananmu dan berikan ketenangan dalam hatimu. Kami sayangkan kamu," tulisnya.

Sementara itu, Siti Hafiza ketika dihubungi Harian Metro enggan memberikan sebarang komen berhubung kontroversi anaknya.

"Maaf tiada komen hanya di bulan Ramadan yang mulia ini mohon mendoakan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, dunia hiburan digemparkan dengan penahanan Aliff dan Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu kota pada 9 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 12:17 PM