Nik Nor Haziera Nik Sin bersama suaminya Mohd Hafizi Md Noor yang merupakan orang kurang upaya sejak kecil bersama anaknya ketika ditemui dikediamanya di Putra Perdana. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nik Nor Haziera Nik Sin bersama suaminya Mohd Hafizi Md Noor yang merupakan orang kurang upaya sejak kecil bersama anaknya ketika ditemui dikediamanya di Putra Perdana. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Noor Hidayah Tanzizi


Puchong: "Saya mungkin tidak diberikan nikmat berjalan yang sempurna seperti orang lain tetapi saya bersyukur Allah SWT memberikan banyak peluang lain kepada saya apabila dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, mempunyai kerjaya yang cerah dan paling bahagia mempunyai keluarga sendiri,"

Itu kata lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU), Mohd Hafizi Md Noor, 36, yang tidak memandang status dirinya sebagai penghalang untuk mempunyai kehidupan yang baik dan berdikari bersama isteri, Nik Nor Haziera Nik Sin, 39.

Mohd Hafizi mendapat perhatian di TikTok selepas isterinya berkongsi videonya menaiki tangga dengan usaha sendiri sambil ditemani anak bongsu berusia tiga tahun di rumah mereka di Apartmen Teratai, Putra Perdana, di sini.

Pemuda asal Sungai Petani, Kedah itu berkata, dia dilahirkan pramatang dan kemudian diserang demam panas serta sawan sebelum ibu menyedari dirinya masih tidak boleh berjalan biarpun sudah berusia tiga tahun.

Menurutnya, kakinya daripada paras lutut dan tapak kaki juga membengkok menjadikan dirinya tidak boleh berdiri terlalu lama sekali gus tidak boleh berjalan dengan sempurna.

"Saya berjalan dengan cara mengheret dan menggunakan bahagian tepi tapak kaki. Biasanya saya akan menggunakan bantuan tongkat dan kalau pergi kerja saya akan guna kerusi roda untuk menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

"Saya lebih senang menjalani kehidupan berdikari dengan usaha sendiri sejak kecil, malah ketika bersekolah di kampung dahulu saya mengayuh basikal sendirian sejak berusia lapan tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Katanya, sebagai anak yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan status dirinya menyemarakkan semangat belajar sehingga tamat peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok namun terpaksa melupakan hasrat ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan.

"Kebetulan saya terus dapat tawaran kerja dan lebih memilih untuk bekerja. Saya bersyukur meski mempunyai kekurangan diri tetapi saya ada rezeki lain, malah tiada sebab untuk berasa malu dengan kekurangan itu dan hidup berdikari.

"Tetapi saya tak nafikan ada juga yang bertanya seperti adakah isteri juga sama seperti saya selain masih ada yang menganggap komuniti seperti kami terlalu perlukan bantuan sedangkan sekarang ini sudah ramai orang normal memilih pasangan OKU serta komuniti kami juga hidup berdikari," kata kakitangan Pos Malaysia yang bertugas di Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Hafizi, dia tidak boleh berdiri dan berjalan terlalu lama kerana ia akan membuatkan kakinya sakit serta dirinya juga terasa penat biarpun hanya berjalan selama dua hingga tiga minit saja.

Sementara itu, Nik Nor Haziera berkata, biarpun suaminya berstatus OKU namun dia mengakui lelaki itu berdikari dan bertanggungjawab mengurus keluarga mereka dengan baik sama seperti insan normal lain.

"Saya tidak memandang fizikal sebaliknya melihat akhlaknya dan suami mampu menjaga kami, boleh menjadi imam solat. Saya mula berkenalan dengannya ketika zaman belajar melalui telefon dan dia tidak menyorok keadaannya ketika itu.

"Saya selalu berdoa setiap langkahnya mencari rezeki untuk kami akan diberikan pahala," katanya yang mengusahakan perniagaan dalam talian.

Berhubung videonya, ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun itu berkata, dia tidak menyangka video suami dan anak perempuan bongsunya akan mendapat perhatian kerana dia hanya mahu merakam momen mereka.

"Suami memang rapat dengan anak bongsunya, malah semua anak juga tahu mengenai kakinya. Anak bongsu memang selalu temankan suami naik tangga dan momen itu saya rakam untuk kenangan, tak sangka pula ramai beri reaksi positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 5:46 PM