OEkhwan Haque Fazlul Haque

“KEKURANGAN bukan penghalang untuk saya berjaya malah saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk buktikan golongan kurang upaya juga setanding mereka yang normal,” kata Muhammad Arham Syafiq Mohd Puzi, 23.

Graduan Diploma Animasi Kreatif dari Kolej Islam Antarabangsa (IIC) itu yang mengalami masalah pendengaran tidak mahu stigma negatif masyarakat tentang keupayaan OKU bersaing dalam pelbagai bidang dan bercita-cita menjadi pengarah animasi.

Menceritakan perjalanan kehidupan sepanjang bergelar penuntut, penerima Anugerah Khas (Graduan) itu berkata, rakan sekuliah dan pensyarah banyak memberikan sokongan dan bantuan terutama ketika menyiapkan tugasan.

MUHAMMAD Arham Syafiq. FOTO Mahzir Mat Isa
MUHAMMAD Arham Syafiq. FOTO Mahzir Mat Isa

“Setiap kali tamat kuliah, saya akan minta bantuan rakan untuk memberikan penerangan semula kerana saya sukar mendengar dengan jelas. Saya juga mendapatkan penjelasan lanjut daripada pensyarah bagi memastikan saya faham maklumat yang disampaikan.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi insan berhati mulia kerana sudi membantu sewaktu saya berdepan kesukaran sepanjang tempoh pengajian. Akhirnya saya berjaya bergraduasi,” katanya ketika ditemui dalam Istiadat Konvokesyen ke-12 IIC, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, semalam.

Dalam istiadat itu, seramai 943 graduan menerima skrol ijazah dan diploma masing-masing yang disampaikan Penaung Diraja IIC, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Turut hadir, Pengerusi IIC Datuk Seri Syed Hussein Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif IIC Shamsul Kahar Haron.

SHAMSUL Kahar (kanan) bersama Aisyah (dua dari kiri) pada Majlis Konvokesyen IIC, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa
SHAMSUL Kahar (kanan) bersama Aisyah (dua dari kiri) pada Majlis Konvokesyen IIC, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa

Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan, Aisyah Puteri Kaser Muhammad Arif Kaser, 24, berkata, kejayaan merangkul anugerah itu ditujukan kepada keluarga yang banyak menyokong pengajiannya.

Graduan Diploma Pengajian Islam dan Sains Kontemporari itu berkata, hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan pada mulanya mendapat tentangan ibu bapanya.

“Saya tetap yakin jurusan ini adalah pilihan terbaik dan akhirnya berjaya membuktikan keputusan itu tidak salah malah lebih manis saya terpilih menerima anugerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:07 AM